Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa
meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan
semangat yang ada.
Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa
betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang
bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.
Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa
dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu
sendu airmata mengaburkan kewarasan.
Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan
dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu
ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.
Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang?
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila
disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya
aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar
mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam
malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu
masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
Jawabnya senang.
Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan,
dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap
kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan
kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan.
Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang
menanti. InsyaAllah.